Jalur Gemilang
Berita :
Lampu Jalan Kampung Perlu Diberi Keutamaan Demi Keselamatan Penduduk
Lampu Jalan Kampung Perlu Diberi Keutamaan Demi Keselamatan Penduduk
Ahmad Zaeem Zainudin
1 hari yang lepas
56


KUALA TERENGGANU, 17 November – Pemasangan lampu jalan di kawasan kampung, khususnya di lokasi berisiko kemalangan dan laluan utama penduduk, perlu diberi keutamaan bagi meningkatkan keselamatan masyarakat pada waktu malam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim berkata, kerajaan negeri wajar menyediakan peruntukan khusus bagi memastikan laluan kampung yang masih gelap mendapat kemudahan pencahayaan mencukupi.

Menurutnya, kekurangan lampu jalan bukan sahaja meningkatkan risiko kemalangan, terutama kepada penunggang motosikal, malah turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan harta benda.

"Isu ini mungkin nampak kecil pada pandangan mata kasar, namun memberi kesan yang amat besar kepada keselamatan dan kesejahteraan hidup penduduk di kawasan kampung, khususnya di kawasan saya, DUN Buluh Gading.

"Keadaan gelap-gelita pada waktu malam di jalan dalam kampung bukan sahaja mengundang risiko kemalangan jalan raya, khususnya kepada penunggang motosikal, malah turut membuka ruang kepada kes jenayah serta kecurian harta benda penduduk kampung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Enakmen Perbekalan 2027 pada Persidangan Ketiga Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini, pada Selasa.

Sehubungan itu, Ridzuan mencadangkan supaya kerajaan negeri menyalurkan peruntukan mencukupi bagi pemasangan lampu jalan baharu, terutama di kawasan titik hitam dan laluan yang menjadi tumpuan penduduk.

Beliau turut mencadangkan penggunaan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) atau solar di kawasan kampung yang sukar mendapatkan sambungan daripada tiang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Katanya, penggunaan teknologi berkenaan juga boleh membantu mengurangkan kos elektrik yang ditanggung pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam jangka panjang.

"Rakyat di kawasan kampung tidak meminta projek mega yang bernilai ratusan juta ringgit.

"Cukuplah sekadar jalan di hadapan rumah dan laluan harian mereka diterangi cahaya lampu, demi menjamin keselamatan anak-anak dan keluarga mereka pada waktu malam," ujarnya.



Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan