• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lancar Misi Bantu Penduduk Terjejas Bekalan Air

KUALA NERUS, 6 Ogos - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat mewakili kerajaan negeri telah melancarkan misi kebajikan untuk menyampaikan bantuan 38,000 liter air minuman kepada penduduk di Tepoh dan Batu Rakit yang terputus bekalan tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, usaha melibatkan kerjasama Majlis Tindakan DUN (MTD) Chukai dan juga Dewan Pemuda PAS kawasan berkenaan.

"Dengan bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan yang dialami penduduk di sini, dapat memberikan sedikit kelegaan dan kegembiraan kepada keluarga yang terkesan.

"Selebihnya kita mengharapkan bekalan air daripada Syarikat Air Terengganu, juga saya dimaklumkan setakat ini hampir seluruh negeri akan mula menghantar bekalan air melalui lori,juga melibatkan beberapa buah negeri lain yang akan turut membantu atas dasar prihatin dengan masalah yang sedang kita hadapi pada ketika ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) , pada program 'Misi Bantuan YBC Ke Kuala Nerus', di sini, pada semalam.

Turut bersama, ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim, Pengarah Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razab dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ramlan Mahmood.

Hanafiah berkata, kerajaan melalui Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri mengambil langkah segera mencari jalan berusaha mengatasi masalah ketiadaan air ini yang melibatkan 27,000 buah rumah di lima buah DUN.

"Pihak EXCO bersetuju supaya buat sesuatu dan kerajaan akan menanggung apa jua risiko yang akan berlaku bagi memastikan seluruh rakyat akan mendapat bekalan air dengan segara melalui kaedah yang terbaik dan sewajarnya dilakukan.

"Melihat pada perkembangan semasa dan tindakan yang dilakukan pada ketika ini saya berharap dalam masa tujuh sehingga 10 hari masalah ini akan selesai dan rakyat akan dapat bekalan air seperti biasa," ujarnya.

Hanafiah mewakili kerajaan negeri turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu meringankan beban yang dialami pihak terbabit.

"Sama ada dermawan, Petugas daripada PAS setiap kawasan mahupun DUN, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) juga Jabatan Amal Malaysia yang pada waktu ini telah berkhidmat tanpa henti, badan-badan kebajikan, sukarelawan,  Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta sukarelawan samada yang terlibat secara langsung atau tidak," ujarnya.

 


Tag: