• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Langkah' Terengganu Inc Cemerlang, Raih Pendapatan RM1.55 Bilion

KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Selepas menerima 'Grand Award Winner, 23rd Malaysia-International HR Awards 2023’ dan ‘Gold Award Winner, Employer of Choice (Private Sector) Category’ pada Majlis Makan Malam Anugerah Sumber Manusia (HR) Malaysia-Antarabangsa Ke-23 2023 pada Disember lalu, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Kumpulan TI) meneruskan langkah positif apabila mencatat prestasi cemerlang bagi tahun kewangan 2022.

Menurut laporan yang telah diaudit, hasil anak syarikat Kerajaan Terengganu itu meningkat kepada RM1.55 bilion berbanding RM1.17 bilion pada tahun 2021.

Selain menjadi pencapaian tertinggi syarikat tersebut di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berbanding kerajaan terdahulu, Kumpulan TI juga mencatatkan peningkatan secara konsisten selama lima tahun berturut-turut sejak 2018 dengan perolehan hampir RM1 bilion sepanjang tempoh itu.

Nilai keuntungan selepas cukai juga meningkat sebanyak RM13 juta kepada RM21 juta pada tahun 2022, berbanding RM8 juta pada tahun sebelumnya.

Lebih menarik, keuntungan berkenaan 'dipulangkan' semula kepada rakyat Terengganu apabila Kumpulan TI membelanjakan sebanyak RM11.4 juta melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta membayar zakat sebanyak RM4.5 juta.  

Kumpulan TI juga berjaya meningkatkan kembali aset bersih (net asset) mereka mencapai RM1.6 bilion setelah mengalami penurunan sepanjang tahun 2019-2021.

Bagi tahun-tahun mendatang, Kumpulan TI akan melibatkan diri dengan lebih aktif dalam teknologi hijau dengan meneroka secara aktif tenaga boleh diperbaharui  dalam menyokong agenda negara dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Selain itu, syarikat berkenaan turut bergiat aktif dalam bidang keterjaminan makanan bagi menyokong matlamat negeri Terengganu menjadi negeri pengeluar makanan. 


Tag: