DUNGUN, 19 September – Kerajaan Negeri Terengganu merancang membangunkan lapan kampung di Hulu Dungun sebagai destinasi pelancongan berasaskan komuniti bagi mengekalkan warisan, budaya dan keindahan alam semula jadi di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata kampung yang terlibat ialah Kampung Pasir Raja, Kampung Shukor, Kampung Jongok Batu, Kampung Kuala Jengai, Kampung Rantau Panjang, Kampung Minda, Kampung Talong dan Kampung Tepus.
Katanya, Hulu Dungun terkenal dengan tarikan alam semula jadi seperti Air Terjun Chemerong, Air Terjun Lubuk Kain, Sungai Kelemin, Gunung Berembun serta kewujudan pokok cengal tertua dan terbesar di negara ini.
"Kita mahu semua produk pelancongan ini digabungkan dan diurus secara lebih tersusun melalui konsep pelancongan komuniti.
"Ia akan menarik lebih ramai pelancong dan dalam masa sama memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya ketika Sidang Media Majlis Perasmian Penutup Karnival Warisan Hulu Dungun di Kampung Kuala Jengai, baru-baru ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
Razali berkata, melalui konsep ini, tinggalan sejarah seperti Kubu Mat Kilau di Kampung Pasir Raja juga akan lebih terpelihara kerana ada pihak yang menguruskan dan memantau jumlah pelawat.
"Sangat penting usaha untuk mendokumentasikan seni budaya tradisi Hulu Dungun seperti Tarian Saba, Tarian Piring dan Gendang Kulit yang kini hanya dikuasai oleh generasi tua.
"Jika tidak dirakam dan diwariskan, seni ini akan lenyap begitu sahaja. Dengan adanya rakaman khas, sekurang-kurangnya generasi akan datang masih boleh melihat dan belajar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Razali mengakui terdapat masalah liputan telekomunikasi yang lemah di beberapa lokasi pelancongan termasuk Taman Eko Rimba Chemerong.
Katanya, kerajaan negeri akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi untuk mencari penyelesaian segera demi keselesaan pelancong dan penduduk.
Sempena karnival tersebut, kira-kira 10,000 benih ikan termasuk terbul dan lampam turut dilepaskan ke Sungai Jengal dengan kerjasama Jabatan Perikanan Terengganu sebagai usaha meningkatkan kesedaran tentang kelestarian perikanan dan pemuliharaan sungai.
