• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

SATU Laksana Pelan Kontingensi Air Menjelang Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 12 April – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) melaksanakan Pelan Kontingensi Air menjelang Aidilfitri nanti bagi menangani kemungkinan gangguan bekalan air.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, pihaknya telah mengenalpasti lapan kawasan di daerah Marang sebagai kawasan yang berpotensi mengalami bekalan tidak stabil atau bertekanan rendah menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata ia melibatkan Kampung Gong Kasim, Bukit Kecil, Durian Pahit, Gong Balai, Pasir Putih, Alor Ketitir, Fakir dan Felda Rantau Abang 1.

“Ini berikutan kerja-kerja projek menaiktaraf paip utama dari LRA Kepong ke tangki utama MIEL dan Gondang belum siap sepenuhnya dan mencapai tahap 90 peratus.

“Justeru itu, SATU telah membuat perancangan proaktif dengan menempatkan tangki-tangki statik di 32 lokasi yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan para pengguna mendapat bekalan air bersih sepanjang perayaan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Iftar Dan Apresiasi Bersama Para Pengamal Media di Hotel Paya Bunga, semalam.

Tambahnya lagi, pihaknya juga meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bagi memastikan pengoperasian yang lebih efisien, dinamik serta memberi keselesaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri. 

“Untuk makluman seminggu sebelum hari raya dan seminggu selepas raya, kita akan hentikan sementara kerja-kerja yang boleh mengganggu operasi logi supaya kita boleh kekalkan operasi loji itu,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Abdul Karim turut  berkongsi pencapaian dan kejayaan penambahbaikan yang dilaksanakan SATU bagi meningkatkan tahap perkhidmatan bekalan terutamanya menjelang musim perayaan menerusi beberapa projek utama seperti projek Kuala Terengganu Utara (KTU) yang merangkumi pembinaan LRA Losong Pakej dan LRA Berapit. 

“Pihak SATU turut memfokuskan kerja-kerja penambahbaikan di beberapa daerah utama seperti di Setiu menerusi projek penaiktarafan LRA Kemudu, projek pemasangan sistem pam penggalak di Jerteh, Besut serta rehabilitasi sistem pengepaman LRA Hulu Terengganu yang telah berjaya disempurnakan sekaligus menyelesaikan situasi bekalan di daerah-daerah tersebut,”katanya.