Lapan Lagi GLC Terengganu Ditutup, Tak Aktif Sejak 2011-2016

KUALA TERENGGANU, 15 September – Lapan anak syarikat kerajaan negeri telah dan akan ditutup pada tahun ini kerana mengalami kerugian, tidak mempunyai pekerja serta tidak menjalankan apa-apa aktiviti sejak 2011 hingga 2016. 

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, secara umumnya syarikat yang mengalami proses penutupan tersebut mempunyai pelbagai justifikasi tertentu.

“Antara syarikat itu (dalam proses penutupan) ialah TI Offshore Service Sdn Bhd, syarikat ini berstatus tidak aktif sejak 2016 dan tidak menjalankan apa-apa aktiviti.

“Suterasemai Sdn Bhd sejak 2011 tidak beroperasi tetapi ditanggung kos pentadbiran tetap perlu ditanggung pada setiap tahun,” ujarnya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Dato Sabri Mohd Noor pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Ke-14, di Wisma Darul Iman hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, syarikat lain yang turut ditutup ialah Terengganu Marine Works Sdn Bhd yang tidak beroperasi sejak diambil alih daripada GLC Terengganu sejak 2014.

“Selain itu, TI Merchandise Sdn Bhd, tidak beroperasi sejak mula ditubuhkan pada 2014, kemudian diaktifkan pada 2018 sebagai syarikat menjual cenderamata, dan dihentikan pada 2019 untuk menghentikan persaingan dengan peniaga tempatan,” katanya.

Untuk rekod, syarikat lain yang berdepan situasi sama ialah Pemika Terengganu Sdn Bhd, dalam proses penutupan, manakala TI Global Food Management Limited (Labuan), TI Overseas Resources Limited, dan TI Overseas Limited telah ditutup sejak Februari lalu.

Difahamkan, meskipun tidak aktif, syarikat tetap menanggung kos pentadbiran tetap yang merangkumi pengurusan, kesetiausahaan syarikat, yuran audit, yuran berkanun dan lain-lain berkaitan perlu ditanggung pada setiap tahun.

Penutupan tersebut juga akan membolehkan Terengganu Inc mengalihkan sumber pengurusannya ke anak syarikat lain.


Tag: