• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 10,000 Penduduk Terengganu Terjejas Banjir

KUALA TERENGGANU, 26 Disember- Situasi banjir di negeri ini makin kritikal apabila jumlah mangsa melepasi angka 10,000.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat pukul 12 tengahari ini menyaksikan 10,643 mangsa daripada 2,913 keluarga berlindung di 134 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah.

“Hulu Terengganu menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 3,133 mangsa daripada 895 keluarga terpaksa dipindahkan ke 34 PPS berbanding hanya 768 orang (257 keluarga) petang semalam.

“Banjir di daerah Dungun juga semakin buruk dengan mangsa terus bertambah kepada 2,357 orang (625 keluarga) di 27 PPS berbanding 1,220 orang (319 keluarga) sebelum ini,” katanya.

Di Besut katanya, mangsa terus meningkat dengan mendadak iaitu 1,712 orang (384 keluarga) di 27 PPS berbanding hanya 240 orang (53 keluarga) petang semalam.

Beliau berkata, banjir di Setiu juga semakin buruk apabila 2,280 mangsa (661 keluarga) kini dipindahkan ke 31 PPS berbanding hanya 302 orang (85 keluarga) sebelum ini.

“Begitu juga berlaku di daerah Kemaman apabila mangsa bertambah kepada 1,068 orang (322 keluarga) di 10 PPS berbanding hanya 361 orang (113 keluarga) petang semalam.

“Namun, banjir masih terkawal di daerah Marang kerana hanya 68 mangsa daripada 18 keluarga berada di dua PPS berbanding 12 orang daripada tiga keluarga di satu PPS sebelum ini manakala di Kuala Nerus, mangsa yang berpindah hanya 25 orang (lapan keluarga) di tiga PPS,” katanya.