• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Lebih 10,000 Rakyat Terengganu Hadir Pelancaran PN

MARANG, 31 Julai- Bumi Terengganu melakar sejarahnya yang tersendiri apabila Pelancaran Perikatan Nasional (PN) semalam telah dihadiri lebih 10,000 rakyat Terengganu.

Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kehadiran berkenaan menzahirkan bahawa rakyat menerima baik gabungan parti PAS, BERSATU, Gerakan dan dua parti dari Sabah Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP).

Jelasnya, ia merupakan persediaan yang terbaik bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka tidak lama lagi.

“Dengan pelancaran yang bermula di negeri Terengganu ini pelancaran ke setiap negeri nanti kita sudah boleh memberikan tumpuan, kita juga telah buat keputusan akan menyelesaikan pembahagian kerusi antara parti komponen dengan seberapa segera,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis parti Perikatan Nasional Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Tok Guru, di Rusila, pada Sabtu 30 Julai.

Muhyiddin Perdana Menteri ke-8 itu berkata, kewujudan PN adalah untuk menyelamatkan negara.

"Kita hendak mentadbir negara dengan cara yang lebih telus, tiada salah guna kuasa, menjadi pilihan yang lebih baik, kalau rakyat memilih kita (PN), setiap janji-janji akan kita tunaikan bagi memastikan negara berada dalam keadaan stabil pelbagai krisis dan masalah dapat diatasi.

“Termasuk hendak memastikan rakyat  dalam negara memilik makanan yang cukup serta menjamin peluang pekerjaan untuk rakyat,” ujarnya.