• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Tengku Paduka Meriahkan Jamuan Aidilfitri ADUN Ladang

KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Lebih 2,000 pengunjung telah membanjiri Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato Tengku Hassan Tengku Omar yang teruja dengan kehadiran tetamu daripada pelbagai lapisan masyarakat yang bertali arus seawal 9.00 pagi sehingga majlis berakhir pada jam 6.00 petang. 

"Mereka kelihatan gembira datang bersama keluarga dan sanak saudara makan-makan, 'berselfi' dan beramah mesra, 

"Orang ramai yang datang ini bukan sahaja daripada DUN Ladang sahaja malah dari luar pun ada, agensi-agensi kerajaan dan pemain-pemain Industri yang datang sebagai kunjung hormat," katanya. 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran Negeri Terengganu itu berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis berkenaan yang diadakan di perkarangan rumahnya di Padang Negara di sini hari ini. 

Turut memeriahkan majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dan YM Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah. 

Menurutnya, beliau sekeluarga sangat gembira dengan majlis yang sudah dua tahun tidak diadakan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pandemik Covid-19 telah menceriakan tetamu-tetamu yang hadir dengan menjamu selera dengan juadah disediakan. 

"Ada nasi dagang, nasi minyak, ketupat, laksa dan banyak lagi, kanak-kanak pun gembira dengan buah tangan sumbangan raya dari DUN," katanya.


Tag: