• 25 Nov 2020 | 9 Rabiul Akhir 1442

Lebih 45 Majikan Didakwa Tidak Carum Perkeso

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Lebih 45 majikan di Terengganu telah didakwa di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahun lalu atas pelbagai kesalahan tidak mendaftar, tidak mencarum dan gagal mendaftar caruman bagi pekerja.

Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana caruman yang tidak dibuat oleh majikan buat pekerja mereka.

"Saya ingin tegaskan, kita boleh mengambil tindakan di bawah akta tersebut, di mana majikan yang tidak mendaftar dan mencarum PERKESO pekerja boleh dikenakan tindakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali," katanya.

beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas penyerahan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 kepada ibu Muhammad Solihin Mahamad, 24, bekas pemain Terengganu City Football Club (TCFC) yang meninggal dunia minggu lalu, di kediaman allahyarham di Kampung Bukit Depu, di sini hari ini.

Jelasnya, PERKESO mendapat perkhabaran kematian pemuda itu melalui laman Facebook dan mendapati caruman terdahulu beliau bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBSNS), Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) melayakkan ibunya untuk menerima Faedah Pencen Penakat hampir RM300 sebulan seumur hidup bermula 1 Oktober.

"Dalam kes ini kita melihat, sepanjang perkhidmatan allahyarham bersama selama dua tahun bersama TCFC yang turut membantu pasukan itu menjuarai Piala FAM 2018, carumannya tiada dan sangat mendukacitakan kerana sekiranya ia dibayar, mungkin faedah yang bakal diperolehi ibu beliau akan lebih tinggi. 

"Kami memandang serius kebajikan terutama atlet-atlet di negeri Terengganu dan sentiasa meneliti kelayakan dan tunggakan caruman mereka. Bukan persatuan bola sepak sahaja, setakat ini semua persatuan sukan negeri masih lagi belum mendaftar pekerja ataupun atlet dan kita tidak mahu terjadi seperti kes ini, yang mana warisnya hanya layak mendapat pencen yang dikurangkan sahaja," katanya.

Tambahnya, hanya satu daripada 44 persatuan sukan di Terengganu iaitu Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) berdaftar dan mencarum PERKESO bagi kebajikan pekerjanya.

.

 

 

 

 


Tag: