• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih 500 peserta Sertai Bulan Keluarga Kebangsaan Terengganu

BESUT, 26 November – Seramai lebih 500 peserta mengambil bahagian dalam program Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Besut di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata bulan November telah diisytiharkan sebagai Bulan Keluarga Kebangsaan pada 25 Jun 2012. 

Katanya, November adalah bulan untuk kita bersatu hati dengan satu inspirasi demi keluarga besar Malaysia yang kita sayangi.

“Justeru, program anjuran bersama kerajan negeri dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bertujuan bagi memelihara dan memperkukuhkan kesejahteraan keluarga sehingga berterusan.

“Di samping, bagi menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri mengiktiraf institusi keluarga sebagai tunjang kepada kestabilan sosial di negara kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Bulan Keluarga Kebangsaan 2023 Peringkat Terengganu bertempat di Kota Putra Square, Besut di sini semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah LPPKN, Muhamad Noh Abdullah.

Tambah Maliaman, beberapa pameran agensi yang terlibat dan pertandingan juga disediakan di peringkat kana-kanak sehingga dewasa dengan matlamat bagi mengeratkan lagi institusi pembinaan keluarga.

Beliau berkata, jutaan terima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program berkenaan.

“Saya dimaklumkan juga beberapa negeri turut sama menyambut dan melaksanakan Sambutan ini secara serentak di negeri Pahang, Johor dan Melaka.

"Kerajaan Negeri melalui Portfolio Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu telah mengangkat cadangan dalam pelbagai bentuk pelaksaanaan program pengukuhan institusi keluarga.

"Antaranya inisiatif pengukuhan institusi keluarga yang dirancang adalah Karnival Keluargaku Syurgaku (K-Jannati), Kem Keibubapaan Hebat (KEMAH 2024) dan pelbagai lagi program yang bakal diadakan.

"Saya berharap agar semua rakyat dapat mengambil peluang dan menyertai program pengukuhan institusi keluarga yang dilaksanakan oleh semua jabatan memberi perkhidmatan berkaitan kekeluargaan, kebajikan, perpaduan kaum dan pembangunan wanita," ujarnya.

 

 


Tag: