Lebih 5,000 Meriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Kijal

KEMAMAN, 23 April - Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal yang berlangsung di Kompleks Paya Lasir semalam mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 5,000 orang hadir memeriahkan suasana.

Pengarah Program, Aliy Zainal Abidin Hazri berkata, orang ramai mula hadir seawal jam 8.30 pagi bagi menikmati pelbagai juadah yang disediakan.

Menurutnya, turut diadakan ialah agihan duit raya kepada kanak-kanak dari Sekolah Rendah dan PASTI sekitar DUN Kijal.

“Petugas terdiri daripada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Unit Dewan Mengundi (UDM) setiap kawasan DUN Kijal, warga kerja Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) serta para sukarelawan yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Sambutan sangat hangat dan meriah. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran ADUN Kijal merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris selaku tuan rumah.

Turut hadir memeriahkan majlis wakil Ahli Parlimen Kemaman, Hazri Jusoh, Senator, Che Alias Hamid, ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta ramai lagi.

Aliy berkata, ‘Photobooth Teratak Kijal’ juga menjadi tarikan utama, merakam detik-detik ceria pengunjung yang tidak melepaskan peluang bergambar dalam suasana Aidilfitri yang penuh meriah dan mesra rakyat.

“Alhamdulillah, majlis yang berlangsung seawal jam 10.30 pagi itu berakhir kira-kira jam 3 petang dengan penuh kemeriahan. Jumpa lagi tahun depan, insya-Allah,” ujarnya.

 


Tag: