• 01 Mei 2024 | 22 Syawal 1445

80,000 Rakyat Meriahkan Program Indahnya Hidup Bersyariat

KUALA TERENGGANU, 30 Disember - Kemuncak acara Program Indahnya Hidup Bersyariat telah dihadiri kira-kira 80,000 rakyat Terengganu sekali gus mencipta fenomenanya yang tersendiri.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program mega berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.

"Sebagaimana yang digariskan di dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi mencapai visi PITAS itu sendiri iaitu Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030.

"Konklusinya, saya mengharapkan Program Indahnya Hidup Bersyariat : Bicara Daie Ummah bersama Prof Dr. Ustaz Abdul Somad memberi 1,001 manfaat kepada kita semua sejajar dengan kerajaan yang menggerakan agenda dakwah di tangga tertinggi pemerintahan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program tersebut yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato'Mohd Nor Hamzah di Dataran Shah Bandar di sini, semalam.

Terdahulu, program berkenaan turut menampilkan Daie Sejuta Ummah, Ustaz Ahzar Idrus bagi mengisi program santai Maghrib sebaik sahaja selesai Solat Maghrib berjemaah.

Selepas Isyak diadakan diadakan solat hajat pertahankan syariat dan solidariti untuk rakyat Palestin.

Dalam pada itu, kerajaan negeri telah memberikan Anugerah Ikon Murabbi Ummah kepada Ustaz Azhar Idrus serta Anugerah Ikon Daie Nusantara kepada Ustaz Abdul Somad.

 

 


Tag: