• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Lebih 800 Jawatan Imam Dan Bilal Perlu Diisi


KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Kerajaaan negeri merekodkan lebih 800 kekosongan jawatan imam dan bilal yang masih belum diisi di masjid kerajaan dan mukim seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ia antara lain disebabkan kerana tidak ramai individu yang berminat dan berkelayakan untuk memikul tanggungjawab itu.

"Mengikut kuota, di setiap masjid ada tiga imam dan tiga bilal, namun secara purata, ada dua imam dan bilal di lebih 500 masjid mukim seluruh negeri.


"Ketika sebilangan imam dan bilal yang sedia ada uzur, calon-calon yang dicadangkan oleh jawatankuasa masjid atau kepimpinan di peringkat kampung gagal dalam proses temuduga yang dijalankan.

"Mungkin kerana mereka tidak bersedia semasa temuduga dan tidak begitu berminat tetapi dicalonkan, jadi kegagalan itu menyebabkan mereka tidak lagi mahu melalui proses itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Haflu Al Takrim Al-Sanawi 2018 Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.

Pada majlis itu dua pelajar warga emas dinobatkan sebagai pelajar terbaik bagi kategori lelaki dan perempuan.

Kedua-duanya, Mohd. Nor Rani, 65, dari Kampung Kubang Parit dan Wan Muni Wan Muda, 75, masing-masing berasal dari Marang menerima Anugerah Kulliyyah Al-Furqan bagi kategori lelaki dan perempuan.

Mohd. Nor yang merupakan bekas Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) secara khususnya mendapat Anugerah Imam Ibnu Tohhan Al-Andalusiy manakala Wan Muni pula mendapat Anugerah Sheikhah Ummu Sa’ad Najm Al-Misriyyah.

Mereka berdua adalah antara 616 pelajar KQT yang diraikan hari ini dalam majlis itu. Daripada jumlah itu, 555 orang merupakan penerima Sijil Ulum al-Quran manakala selebihnya iaitu 61 orang adalah penerima Sijil Dirasat Quraniah.



Tag: