• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lebih RM1.3 Juta Diperuntuk Baikpulih Kawasan Pelancongan Hulu Besut

KUALA TERENGGANU, 29 November - Kerajaan negeri memperuntuk lebih RM1.3 juta bagi menambah baik dan menaiktaraf infrastruktur pelancongan di kawasan Hulu Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia melibatkan peruntukan sebahagian besar dari kerajaan negeri dan selebihnya dari kerajaan persekutuan.

"Sebanyak RM940,000 diperuntuk bagi cadangan projek baikpulih, menaiktaraf kemudahan pelancongan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring.

"Ini termasuk cadangan membina dan menyiapkan chalet tambahan serta kerja-kerja berkaitan di La Hot Spring melibatkan peruntukan RM391,029 yang kedua-duanya dari kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambahnya, di bawah peruntukan kerajaan persekutuan melalui MOTAC negeri, pembinaan dan menyiapkan 'Arca Entrance Signage' dibawah menaiktaraf kemudahan pelancongan dan kerja berkaitan di La Hot Spring.

Selain itu katanya, dua kawasan rekreasi yang berada di dalam kawasan hutan simpanan kekal di Hulu Besut iaitu Taman Eko-Rimba (TER) Lata Tembakah dan Lata Kolam Air Deru Ecopark turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

"TER Lata Tembakah diletakkan di bawah pengurusan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT).

"JPNT sentiasa menaiktaraf dan membaiki kemudahan di TER Lata Tembakah secara berperingkat bergantung kepada sumber peruntukan di bawah Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Hutan (KWPAH) untuk keselesaan pengunjung," jelas beliau.

Menurutnya lagi, bagi kawasan Lata Kolam Air Deru, permit penggunaan diberikan kepada syarikat Big Scope Event And Travel Sdn. Bhd. untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan infrastruktur.