• 17 Mei 2024 | 9 Zulkaedah 1445

Lima Individu Alami Keracunan Makanan Selepas Makan Kuih Ketayap

KUALA TERENGGANU, 2 Mei- Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Terenganu memaklumkan terdapat lima individu daripada tiga keluarga dimasukkan ke hospital kerana mengalami gejala keracunan makanan.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Kasemani Embong berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Marang telah menerima notifikasi awal kes itu pada 28 April lalu di mana pesakit dikatakan mempunyai sejarah memakan kuih ketayap yang dibeli di Pasar Bukit Payong, Marang pada hari yang sama.

Katanya, sehingga jam 5 petang Isnin lalu, hanya tujuh individu sahaja tampil memaklumkan membeli kuih ketayap dari kedai yang sama. 

“Daripada jumlah tersebut, lima orang mempunyai gejala cirit-birit dan muntah, dengan empat orang telah mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan seorang pesakit telah diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Bukit Payong. 

"Kesemua pesakit kanak-kanak dan dewasa yang dirawat di hospital berada di dalam keadaan stabil dan menunjukkan perkembangan positif.

"Tiga kes telah dibenarkan keluar wad pada Isnin dan seorang lagi dijangka akan discaj pada hari ini sementara pesakit yang dirawat sebagai pesakit luar juga telah pulih sepenuhnya," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya,  pihak jabatan masih meneruskan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian wabak keracunan makanan ini dan pesakit-pesakit lain yang mungkin terdedah.

"Kita juga telah ambil beberapa sampel sama ada makanan, daripada pengendali dan bahan-bahan yang digunakan di premis terbabit," ujarnya.

Menurut beliau, tatacara keselamatan makanan terutamanya tahap kebersihan yang tinggi perlu dititik beratkan oleh semua pengendali makanan dan orang awam. 

“Orang ramai juga disarankan agar sentiasa peka tentang keselamatan makanan dengan mengamalkan konsep ‘lihat, hidu, dan rasa’ sebelum makan untuk mengelakkan memakan makanan yang telah basi serta membudayakan amalan membasuh tangan sebelum dan selepas makan sebagai langkah kawalan kendiri untuk mengurangkan risiko,” katanya.