KUALA TERENGGANU, 13 November - Terengganu akan memperkukuhkan lima kluster pelancongan utama iaitu Pulau dan Pantai, Kenyir Geopark, Seni, Budaya dan Warisan Alam Semula Jadi untuk memacu pertumbuhan pelancongan negeri bagi menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini menjelang tahun hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata ia merupakan antara langkah utama yang dilakukan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bagi memperkukuh daya saing sektor pelancongan di negeri ini.
Menurut beliau, antara langkah lain yang akan digerakkan adalah denagn turut melakukan peningkatan infrastruktur pelancongan dengan menaik taraf kemudahan awam seperti pantai, laluan pejalan kaki, tandas dan sistem pengangkutan demi menjadmi keselesaan pengunjung serta menaikkan imej negeri.
"Golongan pengusaha kecil seperti pemilik 'homestay', pengendali bot, pemandu pelancong dan usahawan kraftangan (pula) akan diberikan latihan, geran sokongan dan bantuan pemasaran digital.
"Promosi pelancongan (juga) akan diperkukuh melalui platform, media sosial dan kerjasama dengan agensi tempatan serta antarabangsa, untuk itu sebuah portal promosi akan dilancarkan dalam masa terdekat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganui, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pembangunan pelancong di negeri ini akan berteraskan prinsip ekopelancongan bagi memelihara alam sekitar dan melibatkan komuniti setempat.
"Bagi tahun melawat Malaysia 2026, negara menyasarkan kehadiran 47 juta pelawat dengan pendapatan pelancongan sebanyak RM329 bilion.
"Penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi landasan strategik ke arah kejayaan Tahun Melawat Terengganu 2027 dengan memanfaatkan momentum dan semangat kempen nasional tersebut," katanya.