• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Lima Mangsa Banjir di PPS Terengganu dijangkiti Covid-19

KUALA TERENGGANU, 31 Disember – "Sebanyak lima kes Covid-19 dikesan membabitkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Terengganu dari 22 Disember lalu hingga semalam,” ujar Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, 15 kes pula dilaporkan di Kelantan menjadikan jumlah keseluruhan yang melibatkan mangsa banjir seramai 20 orang.

“Kesemua kes Covid-19 yang dilaporkan adalah stabil dan terdiri daripada kategori dua (17 kes), kategori tiga (dua kes) dan kategori empat (satu kes).

"Kes Covid-19 kategori empat merupakan pesakit warga emas dengan komorbid hipertensi tidak terkawal dan dimasukkan ke wad di Hospital Jeli, namun sudah dibenarkan pulang pada Sabtu," katanya dalam satu kenyataan rasmi di laman facebook KKM semalam.

Tambah Dzulkefly, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa sebanyak 51 fasiliti kesihatan terjejas banjir di tiga negeri melibatkan Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Menurutnya, di Kelantan sebanyak 23 fasiliti terjejas, manakala di Terengganu adalah 11, dan Pahang sebanyak 17.

“Sebanyak 34 fasiliti kesihatan masih beroperasi seperti biasa, manakala, 16 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi ke fasiliti alternatif, dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan. 

“Orang ramai masih boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di fasiliti kesihatan termasuk fasiliti alternatif seperti biasa,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

 


Tag: