• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Lokasi Pelancongan Terengganu Dibuka Bermula September

KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Kerajaan Terengganu mengumumkan sektor pelancongan negeri itu akan dibuka bermula 1 September ini selaras dengan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan pembukaan sektor tersebut kepada negeri yang berada dalam fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, semua lokasi pelancongan dibuka kecuali yang bersifat 'indoor' seperti Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri.

"Pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Kapas, Tenggol, Redang dan Lang Tengah turut dibuka dengan kapasiti penuh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan MKN.

"Walau bagaimanapun, tiada aktiviti pelancongan bagi Pulau Perhentian berikutan penularan dalam Covid-19 sehingga dimaklumkan kelak. Pergerakan keluar masuk ke pulau tersebut turut dibataskan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Solat Hajat sempena pembukaan semula sektor pelancongan negeri Terengganu di Duyong Marina & Resort, semalam.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.

Menurut Ariffin, pembukaan sektor berkenaan lebih bersifat dalaman pada peringkat awal dengan kebenaran rentas antara daerah.

"Sebenarnya, pembukaan ini jelas untuk rakyat Terengganu sehingga dibenarkan untuk merentas negeri. Memang Perancangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk mewujudkan gelembung pelancongan, tetapi masih banyak negeri khususnya di Pantai Barat masih berada di fasa satu PPN.

"Namun, kita sentiasa bersedia dan berusaha memastikan sektor pelancongan Terengganu selamat dengan promosi terbaharu iaitu 'We Save To Visit'," katanya.

 

 

 


Tag: