• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Longgokan Sampah: Kontraktor Langgar Syarat Bakal Didakwa

KUALA NERUS, 10 Januari - Kontraktor yang berterusan melanggar syarat ditetapkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bakal dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan terbabit.

Ketegasan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berhubung isu kelewatan mengangkut di negeri itu sejak minggu lalu.

"Untuk kali ini, kita berikan amaran dahulu kerana isu kutipan telah diselesaikan bermula Jumaat lalu dan berakhir hari ini.

"Sekiranya selepas Mac, mereka tidak dapat lori sendiri kita akan kenakan denda. Selepas enam bulan jika berlaku lagi, kita akan ambil tindakan undang-undang kepada kontraktor terbabit," katanya kepada pemberita di Hentian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) di Kampung Tok Jiring, hari ini.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui MBKT mengambil langkah melonggarkan syarat dengan melanjutkan sewaan lori sampah MBKT sehingga Mac bagi mengatasi masalah itu.

Menurut Alias, tindakan sebahagian kontraktor kutipan sampah tidak mematuhi syarat memiliki lori sampah sendiri sebagaimana kontrak perjanjian menyebabkan timbul isu longgokan sampah.

"Untuk MBKT kita ada tujuh kontraktor, dalam tender bermula tahun 2022, kontraktor perlu membeli atau mendapatkan lori-lori sendiri.

"Apa yang berlaku, ada kontraktor yang tidak membeli sepenuhnya, ada lima dibeli tiga dan disebabkan tidak cukup kenderaan, belaku longgokan sampah," katanya.

Bagi pihak kerajaan negeri, beliau memohon maaf atas masalah yang berlaku dan akan terus memantau perkembangan isu tersebut.


Tag: