• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

LTdL Jana Pendapatan Lebih RM3.5 Juta di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 November - Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 di Terengganu berjaya menjana pendapatan pelancongan secara efek berganda lebih RM3.5 juta yang menyumbang kepada ekonomi negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata acara sukan antarabangsa yang pada kebiasaannya mendapat liputan meluas daripada media asing serta tempatan, secara tidak langsung berjaya mempromosikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang menarik.

"LTDL telah membuka peluang penjanaan dan limpahan ekonomi kepada masyarakat setempat, pengusaha pelancongan, pengusaha kedai makan, peniaga-peniaga menerusi jualan-jualan produk termasuk penginapan" ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Tepuh berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Air Putih, Mohd Hafiz Adam dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Tambahnya, kejohanan LTDL juga menjadi platform kerajaan negeri yang terkenal dengan jolokan 'Land of Cyclists’ menunjukkan keupayaan Terengganu dalam bidang tersebut.

"Penyertaan pelumba bertaraf antarabangsa dalam kejohanan LTDL merupakan langkah terbaik bagi menonjolkan pencapaian atlet dalam sukan dan berkongsi kejayaan atlet dengan semua pihak,"katanya.

LTDL 2023 yang berlangsung baru-baru ini melibatkan 11 negeri di Semenanjung Malaysia dengan jarak perlumbaan sejauh 1,280 kilometer.