Terengganu, TNB Genco Meterai Perjanjian Optimum Sumber Hidro
KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Penganjuran program Madinah Ramadan pada tahun ini diberi nafas baharu dalam usaha menarik lebih ramai umat Islam untuk bersama-sama menghidupkan bulan mulia yang penuh keberkatan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program yang diadakan sejak 2018 itu diteruskan dengan beberapa penyesuaian termasuk perlaksanaan di masjid berbanding lokasi terbuka seperti sebelum ini.
Katanya, Masjid Tengku Tengah Zaharah atau lebih dikenali sebagai Masjid Terapung di Kuala Ibai, di sini dipilih sebagai lokasi penganjuran program Madinah Ramadan tahun ini.
“Bermula tahun lepas kita adakan program Madinah Ramadan di masjid iaitu di Masjid Tok Jembal yang berdekatan dengan beberapa institusi pendidikan yang sasarannya lebih kepada mahasiswa dan mahasiswi serta penduduk setempat.
“Untuk Ramadan tahun ini, kita buat di Masjid Terapung yang berhampiran kawasan rekreasi Kuala Ibai, di mana orang ramai yang berbuka puasa di Lagoon Kuala Ibai digalakkan untuk turut serta dalam aktiviti di masjid.
“Kita berharap ia menjadi satu trend seperti di Masjid Kuantan, di mana masyarakat beramai-ramai berbuka di kawasan lapang berhampiran masjid kemudian bersama-sama menunaikan ibadah di masjid,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media Sempena Madinah Ramadan dan Isu Semasa di Wisma Darul Iman.
Mengulas lanjut katanya, tujuan program tersebut diadakan di masjid adalah untuk mempelbagaikan lagi fungsi institusi ibadat itu sekali gus memenuhi hasrat kerajaan negeri dalam mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan rumah Allah.
Dalam pada itu katanya, juadah berbuka puasa sebanyak 200 hidangan setiap hari akan disediakan untuk orang ramai sepanjang program Madinah Ramadan dan jumlah itu akan ditingkatkan kepada 500 pada hari Jumaat dan Sabtu.
“Selain dapat berbuka puasa, solat tarawih yang diimamkan oleh imam terbaik di kalangan anak Terengganu, orang ramai yang hadir ke masjid juga berpeluang mendengar ceramah dan tazkirah oleh para asatizah dan pendakwah yang kita jemput sepanjang Ramadan ini,” katanya.