MAH Terengganu Sumbang Barang Keperluan Harian di Tujuh Madrasah

KEMAMAN, 27 Februari – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Terengganu menyantuni golongan asnaf dengan menyampaikan sumbangan kepada madrasah dan institusi tahfiz yang memerlukan di Dewan Undangan NEGERI (DUN)Kijal.

Pengerusinya, Suaibah Harun berkata program Pra-Ramadhan Bersama Asnaf itu mendapat kerjasama daripada 38 hotel yang merupakan ahli MAH Terengganu.

"Sebanyak 100 paket yang mengandungi barang keperluan harian telah diagihkan kepada tujuh buah madrasah di DUN Kijal, dengan sokongan ahli-ahli hotel MAH Terengganu.

"Inisiatif ini mencerminkan keprihatinan industri perhotelan dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta memperkukuhkan hubungan dengan komuniti setempat.

"Semoga sumbangan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan serta membawa keberkatan menjelang bulan Ramadhan," katanya.

Tambah beliau, program tersebut turut mendapat sokongan penuh daripada EXCO Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu, Dato' Razali Idris, yang juga merupakan ADUN Kijal.

Tambah Suaibah, program itu bertujuan untuk mengeratkan silaturahim antara sektor perhotelan dan masyarakat setempat. 

Beliau  berharap dapat meneruskan inisiatif seperti ini pada masa akan datang dengan lebih banyak penyertaan daripada industri perhotelan serta pihak korporat lain.

"Insya-Allah, kami akan terus konsisten membantu kerana percaya apa yang diperoleh sebahagiannya bukan milik kita.

"Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain, jadi kenalah beri balik kepada golongan yang memerlukan," katanya.


Tag: