• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mahkamah Utama Syariah Bakal Dibina di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 24 Disember – Kerajaan Negeri Terengganu berdasarkan belanjawan baru-baru ini telah mengumumkan penubuhan Mahkamah Utama Syariah bagi membantu sistem kehakiman syariah di negeri ini.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata sejak dahulu, Mahkamah Syariah mempunyai tiga tingkat iaitu Mahkamah Rendah, Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Mana-mana kes yang didaftarkan di Mahkamah Rendah boleh dirayu di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Manakala, kes yang dimulakan di Mahkamah Tinggi hanya boleh dirayu di Mahkamah Rayuan sahaja,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri Kedua Tahun 2023 bertempat di Kenari Ballroom, DSA Batu Buruk Beach Resort baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.

Tambah Mohd Zakri, penubuhan Mahkamah Utama Syariah ini dapat menimbulkan keadilan dari segi kehakiman itu sendiri.

Justeru, masyarakat boleh membuat dua kali rayuan sepertimana kes yang dimulakan di Mahkamah Rendah.

“Mahkamah Utama Syariah merupakan satu perkara sangat penting bagi memastikan keadilan dan bidang kuasa dapat ditafsirkan dengan lebih jelas.

“Pembinaan akan bermula pada bila-bila masa cuma kita sedang menyiapkan pindaan terhadap enakmen Mahkamah Syariah itu sendiri berkenaan penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata, setiap Mahkamah Syariah yang ditubuhkan hendaklah diwartakan dan pewartaan tersebut akan berlaku setelah penubuhan.

“Semoga pada awal tahun 2024 kita mengharapkan akan dimasukkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan diluluskan enakmen tersebut,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 


Tag: