• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MAIDAM Galak Rakyat Salur Derma Palestin Melalui Masjid

KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggalakan orang ramai menyalurkan derma kepada penduduk Palestin yang dizalimi zionis Israel melalui tabung di setiap masjid di seluruh negeri. 

Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan berhubung perkara itu.

Menurutnya, MAIDAM juga akan memastikan semua sumbangan akan disalurkan terus dan tepat kepada sasaran.

"Para penderma tidak perlu bimbang kerana kesemua hasil kutipan yang disumbang akan diserahkan sepenuhnya (tanpa apa-apa potongan) kepada  kedutaan Palestin di negara ini.

"Ia kerana wang derma yang disalurkan melalui masjid ini perlu melalui pejabat agama atau MAIDAM di mana kita akan kumpul dan hantar sendiri kepada pihak kedutaan atau kerajaan Malaysia.

"Jadi mereka yang menderma melalui masjid atau surau ini Insya-Allah kira akan 100 peratus hantar ke sana (Palestin)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Insentif Pakej umrah bagi peserta tilawah, Hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita di sini, pada Selasa. 

Jelas beliau, MAIDAM telah mengarahkan masjid di seluruh negeri memulakan kutipan  tabung untuk didermakan kepada Palestin sejak minggu lepas. 

Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk peka terhadap tragedi yang menimpa umat Islam di Palestin dan tidak hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang tindakan. 

Baru baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan pengumpulan derma oleh satu badan bukan kerajaan (NGO) untuk rakyat Palestin.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dibuat pihaknya berhubung  dakwaan salah guna kuasa membabitkan pengumpulan derma itu.