KUALA TERENGGANU, 21 April – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) terus memperkukuh komitmen dalam memperkasa pendidikan apabila memperuntukkan lebih RM70 juta bagi sektor pendidikan sepanjang tahun 2025.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Prof. Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, peruntukan tersebut disalurkan melalui agihan zakat dan dilaksanakan menerusi Yayasan Pendidikan MAIDAM bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara berkesan.
Menurut beliau, sebagai sebahagian daripada usaha menghargai kecemerlangan akademik, seramai 715 pelajar yang memperoleh keputusan Straight A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
“Majlis ini merupakan inisiatif pertama yang dilaksanakan secara besar-besaran bagi mengiktiraf pencapaian pelajar di seluruh negeri, berbanding sebelum ini hanya dibuat secara kecil-kecilan.
“Ia juga dibiayai melalui peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pendidikan MAIDAM berjumlah lebih RM200,000, bukan daripada dana zakat,” jelasnya.

Tambah beliau, bantuan pendidikan yang disediakan merangkumi lebih 20 jenis skim dan terbuka bukan sahaja kepada golongan asnaf fakir miskin, malah turut melibatkan pelajar daripada keluarga berkemampuan di bawah kategori fisabilillah.
“Bagi tahun 2025, peruntukan bagi kategori fisabilillah adalah sebanyak RM37.07 juta, manakala bantuan untuk golongan miskin pula berjumlah RM36.73 juta,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan jumlah penerima bantuan pendidikan menunjukkan peningkatan ketara apabila melebihi 9,000 pelajar pada tahun 2025, sekali gus mencerminkan kejayaan pelbagai inisiatif pendidikan di negeri ini.
“Ini membuktikan kerjasama erat antara MAIDAM, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Yayasan Terengganu dan pelbagai pihak berkepentingan dalam meningkatkan pencapaian akademik pelajar.
“Pendidikan adalah antara strategi utama dalam mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kualiti hidup keluarga,” jelasnya.
"Menerusi pendidikan anak-anak ini satu lagi strategi yang telah pun digerakkan oleh MAIDAM untuk membantu kita mengurangkan insiden kemiskinan menerusi agenda pendidikan," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa MAIDAM akan terus memperluas usaha memperkasa pendidikan sebagai agenda penting pembangunan ummah di negeri Terengganu.
Tag :