“Mak Lebih Penting” – Nor Ain Pulang Tinggal Kerjaya Jaga Ibu

KEMAMAN, 23 April – Dua beradik di Kampung Lubuk Lesung, Kijal sanggup berhenti kerja demi menjaga ibu mereka, Rosila Noor, 54, yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima.

Rosila yang juga seorang ibu tunggal, kini bergantung sepenuhnya kepada anak-anak untuk urusan harian selepas disahkan menghidap penyakit kronik itu.

Anak ketiganya, Nor Ain Natasha Maae, 24, berhenti kerja sebagai pengasuh di sebuah taska di Seksyen 16, Shah Alam untuk pulang ke kampung menjaga ibunya, terutamanya semasa sesi rawatan cuci darah di hospital.

“Saya tak sanggup tengok mak tanggung semua ini seorang diri. Saya ambil keputusan berhenti kerja walaupun kami tak ada pendapatan tetap,” kata Nor Ain Natasha.

“Oleh kerana, hanya anak perempuan dibenarkan menemani ibu semasa rawatan, sebab itu dia pulang dan ambil tanggungjawab jaga ibunya," katanya. 

Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman semasa program Ziarah Prihatin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal semalam.

Anak sulung, Ikram Nizam Maae 29, turut berhenti kerja sebagai pekerja pasar raya di Kemaman untuk membantu menjaga ibu mereka di rumah.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Mohd Amirudin Zakaria, mereka ada tanggungan tiga lagi adik beradik mereka yang masih belajar.

“Dua orang di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan seorang lagi di tahun lima Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kijal.

“Pihak JPKK Lubuk Lesung akan terus memantau keadaan keluarga ini dan akan menyalurkan bantuan yang sewajarnya dari semasa ke semasa,” ujarnya.


Tag: