• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Malapetaka Buat Negara Jika Pengundi Diugut, Dipaksa

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Malapetaka besar buat negara jika benar dakwaan wujud anggota keselamatan beruniform di Terengganu dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini, ujar Menteri Besar Terengganu.

Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau berharap pendedahan anggota keselamatan diugut tentang kerja dan imbuhan yang dibuat di media sosial itu tidak benar.

“Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara. 

“Sesungguhnya, manusia yang merdeka mungkin boleh dipaksa, ditahan dan diugut, tetapi jangan ingat ia boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, jika benar perkara itu terjadi, Malaysia akan bergerak ke belakang.

“Pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” tambahnya.

Terdahulu, tular satu gambar duit di dalam sampul beserta kapsyen daripada pengadu yang mengatakan anggota polis di sebuah IPD di Terengganu menerima RM200 seorang daripada calon Barisan Nasional N31.

Ujar pengadu itu lagi, semasa proses penerimaan duit anak calon BN turut hadir bersama dan telefon perlu diletakkan di tempat luar bilik.

Selain itu, semua anggota polis yang menerima duit itu diugut supaya mengundi calon BN jika tidak akan dipindahkan temoat kerja dan dikenakan tindakan, kata pengadu tersebut.


Tag: