• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Malaysia Disaran Tidak Berpihak Kuasa Besar

SHAH ALAM, 20 Oktober - Malaysia disaran mengambil sikap tegas dan berani serta tidak memihak kepada kuasa besar semata-mata terutama dalam isu umat Islam.

Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, langkah itu bagi memastikan negara akan terus menjuarai isu-isu negara umat Islam supaya disegani oleh rakan di mata dunia.

"Letakkan keutamaan kerjasama serantau daripada kalangan negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), kerjasama negara-negara Islam (OIC) dan negara-negara berkecuali (NAM) terlebih dahulu.

"Namun, hubungan dengan semua negara tidak diputuskan, mengikut kebijaksanaan agar tidak terikat dan sangat bergantung dengan kuasa besar dunia," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Ucaptama Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69, di IDCC Ideal Convention Centre Shah Alam, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Presiden PAS itu juga berkata, partinya akan terus memberikan perhatian terhadap masalah umat Islam yang ditindas di seluruh dunia.

"Serta campur tangan asing di banyak negara umat Islam di Afrika dan Asia.

"PAS akan meletakkan keutamaan untuk menjadi penggerak bagi mengangkat agenda penyatuan ummah di Rantau Asia Tenggara dan dunia Islam," ujarnya lagi.


Tag: