• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Malaysia Mahu Pertingkat Eksport Sawit Ke Mesir

KUALA TERENGGANU, 18 Julai - Malaysia-Mesir memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi bekerjasama meneroka peluang memperkasakan eksport sawit ke negara utara Afrika itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata persetujuan itu dicapai ketika pertemuan dengan Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy.

Katanya, MoU itu bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bagi menjamin bekalan berterusan sawit kepada pemain industri berkaitan komoditi itu di Mesir.

"Ia juga bertujuan mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua buah negara," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja Misi Ke Mesir: Memperkasa Hubungan Dagang Agrikomoditi Negara selama empat hari bermula Sabtu lalu.

Mohd Khairuddin berkata, pada tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta, manakala eksport getah pula mencatatkan nilai RM184 juta manakala subsektor koko sebanyak RM87 juta.

"Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.

"Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut," katanya.

Mengulas mengenai misi itu, Mohd Khairuddin berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya membabitkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, perkayuan, getah dan koko.

Katanya, ia sebagai menyambung perbincangan dua hala secara maya antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Presiden Republik Mesir, Abdul Fattah al-Sisi pada 17 Jun lalu.

Dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan Mesir, Dr Nigena Gamea, Khairuddin berkata, kedua-dua pihak turut memeterai MoU bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya membabitkan kayu getah.

Katanya, peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian membabitkan teknologi getah Malaysia seperti teknologi 'seismic bearing' yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut.

"Selain peluang itu juga bertujuan meneroka perkongsian pintar teknologi tauar Ecoprina yang dimiliki oleh Lembaga Getah Negara (LGM)," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, dalam mesyuarat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Arab Saudi ke Mesir untuk pertemuan itu, beberapa isu teknikal membabitkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara terperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di bumi Mesir dan Afrika Utara.

Katanya, Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi dan bidang utama perniagaannya ialah pemakanan dengan pendapatan tahunan sekitar USD8 bilion (RM33.27 bilion).

"Kumpulan Savola memiliki anak syarikat yang besar di Mesir iaitu Savola Foods Egypt dengan fokus utama perniagaan dalam bidang pemprosesan dan bekalan makanan.

"Menariknya Kumpulan Savola juga bersetuju meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Asia Barat," katanya.

Beliau berkata, dalam majlis makan malam bersama ahli perniagaan dan pemain industri utama sawit di Mesir anjuran Ketua Pegawai Eksekutif Pasifik Interlink, Dr Fuad Hayel, iaitu sebuah syarikat pengeksport sawit berpangkalan di Malaysia, beberapa cadangan pemerkasaan pemasaran sawit dilontarkan oleh pemain industri menerusi ucapan Dr Fuad dan ucapan oleh Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Komoditi Mesir, Syafie Zakaria.

"Saya juga berpeluang berbincang bersama pakar kajian sawit, Prof Dr Hanafi Abd Elaziz Hashem dan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti al-Azhar, Prof Dr Gamal A Abdurrabah untuk mewujudkan kerjasama antara kementerian dan Universiti al-Azhar bagi mengkaji dan meneliti penemuan terkini membabitkan kelebihan sawit terhadap dunia pemakanan, nutrisi dan farmaseutikal," katanya.

"Prof Dr Hanafi adalah pakar pertanian yang banyak membuat kajian berkaitan dengan sawit. Ia satu langkah ke arah kempen yang baik untuk sawit di seluruh dunia khususnya Asia Barat oleh sebuah universiti terkemuka dunia," katanya.

-- Berita Harian