KUALA TERENGGANU, 24 Oktober - kerajaan Malaysia digesa agar menjadi pihak yang lantang mendesak Israel, Amerika Syarikat dan sekutunya dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata ia bagi memastikan rejim zionis dan sekutunya diadili kerana penindasan yang dilakukan berlarutan sejak sekian lama.
"Perlu berani walaupun (negara) kita kecil, berani kerana menyatakan kebenaran.
"Mendesak sehingga mereka yang terbabit dalam keganasan Israel dan sekutunya dihadapkan ke ICJ.
"Ini sangat penting dan mesti dilakukan bersungguh-sungguh," ujarnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 peringkat dasar di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hadi secara sinis turut mempersoalkan ketegasan perundangan antarabangsa yang terlalu rapuh serta tidak berupaya mengekang keganasan.
"Perundangan antarabangsa tidak jadi apa-apa biarpun ICJ itu ada, ini macam sarang labah-labah, (musnah) dirempuh binatang besar, sebaliknya hanya serangga kecil yang melekat," katanya.