• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir di Terengganu Meningkat, 11 PPS Dibuka

KUALA TERENGGANU, 20 November - Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus mencatat peningkatan kepada 1070 mangsa daripada 321 keluarga di tiga daerah setakat jam 8 malam hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, setakat ini, sebanyak 11 pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka iaitu tujuh di Kuala Nerus, Kuala Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

"Kuala Nerus merekodkan mangsa teramai dengan 564 orang terjejas selepas kediaman dinaiki air.

"Semua mangsa daripada 166 keluarga kini ditempatkan di tujuh PPS di daerah berkenaan," ujarnya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, paras air di kebanyakan sungai utama di Terengganu menunjukkan trend peningkatan susulan hujan berterusan sejak semalam.

Secara keseluruhan, hujan melanda di seluruh Terengganu bermula awal pagi tadi dengan penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200 milimeter di sekitar daerah Kuala Terengganu.

Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa tempat di Terengganu.