• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Naik 2281, Dungun Paling Teruk Terjejas

KUALA TERENGGANU, 25 Disember - Mangsa banjir di negeri ini meningkat sebanyak 2,281 mangsa daripada 661 keluarga dengan menyaksikan daerah Dungun paling teruk terjejas.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari enam daerah melibatkan Marang, Dungun, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Kemaman.

Katanya, mereka semua ditempatkan di 46 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam daerah berkenaan.

"Setakat jam 10.00 pagi, Daerah Dungun mencatatkan mangsa seramai 1,146 orang daripada 299 keluarga daripada 21 PPS," menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambahnya, Besut dan Kemaman merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 19 dan 357 orang dari empat dan 112 keluarga yang dibawa di enam PPS.

"Hulu Terengganu antara daerah teruk dilanda banjir yang merekodkan seramai 547 mangsa daripada 193 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

"Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 12 dan 192 mangsa daripada tiga dan 50 keluarga yang berlindung di sembilan PPS dalam daerah tersebut," jelasnya.

Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.


Tag: