• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Terengganu Cecah 2,103 Orang

KUALA TERENGGANU, 16 Disember - Situasi banjir di negeri ini semakin meruncing apabila mencatat jumlah mangsa seramai 2,103 orang daripada 523 keluarga.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut ditempatkan di 44 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah terlibat banjir.

Katanya, enam daerah yang masih terjejas adalah Hulu Terengganu, Besut, Setiu, Marang, Kemaman, dan Dungun.

“Setakat jam 4.30 petang, Dungun merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 1,069 orang daripada 264 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS.

“Manakala di Besut dan Setiu pula mencatatkan seramai 222 dan 98 orang daripada 62 dan 41 keluarga serta 14 PPS dibuka dalam daerah berkenaan,”menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Jelasnya lagi, daerah Hulu Terengganu dan Kemaman masing-masing merekodkan seramai 306 dan 206 mangsa daripada 72 dan 49 buah keluarga.

“Kesemua mangsa tersebut berlindung di 12 PPS dalam dua daerah tersebut,” katanya.

Sementara itu, Marang merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan mangsa seramai 202 daripada 35 keluarga dalam empat PPS.

“Hujan masih turun di sebahagian kawasan di negeri ini dan pemindahan mangsa banjir dijangka meningkat hari ini.

“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: