• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Banjir Terengganu Naik 686 Orang

KUALA TERENGGANU, 21 November – Mangsa banjir terus meningkat kepada angka 686 orang yang melibatkan 217 keluarga di Terengganu.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata kesemua mangsa tersebut terdiri dari empat daerah melibatkan Marang, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu .

Setakat jam 4.00 petang, sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka keempat-empat daerah berkenaan.

“Dungun mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 337 mangsa daripada 92 keluarga yang berada di enam PPS,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.

Tambahnya, Hulu Terengganu merupakan daerah terbaharu yang terjejas banjir dengan merekodkan jumlah mangsa seramai 274 orang dari 106 keluarga yang ditempatkan di empat PPS.

Manakala, Marang dan Setiu pula merekodkan seramai 12 dan 63 mangsa daripada tiga dan 16 keluarga yang berlindung di tiga PPS dalam daerah tersebut.

Ketika ini, hujan lebat masih melanda beberapa tempat di Terengganu.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” ujarnya.


Tag: