• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Mangsa Banjir Terengganu Terima Bantuan RM5.3 Juta

KUALA TERENGGANU, 14 Mac- Seramai 8,337 Ketua Isi Rumah (KIR) yang menjadi mangsa banjir di negeri ini menerima bantuan berjumlah RM5.3 juta.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, setiap KIR akan menerima bantuan sebanyak RM500.

"Kita menggunakan zakat Al-Gharimim sebanyak RM4 juta untuk diagihkan kepada semua mangsa banjir yang dipindahkan ke 236 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri.

"Semakan dilakukan mendapati seramai 31,622 mangsa daripada 8,337 KIR menjadi mangsa banjir yang berakhir Ahad lalu.

"Ini termasuk seramai 9,556 mangsa daripada 2,545 KIR di daerah Hulu Terengganu menjadi mangsa banjir, berdasarkan maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat MAIDAM, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, M Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAWIP) juga menyumbangkan sebanyak RM1 juta manakala Permodalan Nasional Berhad (PNB) menyalurkan bantuan berjumlah RM250,000 untuk membantu meringankan semua mangsa yang terkesan susulan gelombang kelima di negeri itu.


Tag: