• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Mangsa Demam Terperangkap Banjir Diselamatkan

DUNGUN, 28 Disember – Mangsa terperangkap banjir berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba dalam satu operasi misi menyelamat di Kampung Paya Kemudi di sini hari ini.

Ketua Bomba dan Penyelamat Dungun, Shahrizal Shamsudin berkata, operasi menyelamat itu melibatkan sebuah keluarga dengan kanak-kanak perempuan yang berumur enam tahun yang mengalami demam.

Menurutnya, misi menyelamat itu bermula pada pukul 10.30 pagi dan tamat pada jam 11.05 pagi.

“Rumah mangsa tersebut berada di atas bukit yang telah dikelilingi air dan menjadi pulau.

“Pihak bomba perlu mengharungi 500 meter dengan menaiki bot fiber melalui paras ketinggian 4 meter kedalaman,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas operasi menyelamat mangsa banjir di kampung berkenaan.

Tambah Shahrizal, seramai tujuh anggota terlibat dalam misi berkenaan dan seorang Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paya Kemudi.

“Misi tersebut berjalan lancar dan mangsa berjaya diselamatkan," ujarnya.

Ketika ini, hujan sudah mula behenti dan banjir juga semakin surut di beberapa tempat di Dungun.

Sementara itu, Sharifah Abu Bakar 32 yang merupakan ibu kepada kanak-kanak demam itu berkata kedua-dua anaknya telah menghadapi demam dan satunya telah sembuh.

"Kebiasaannya, saya keluar seorang diri jika perlu dengan perahu yang ada.

Namun, apabila anak saya yang mengalami demam, ia sangat membimbangkan dan menyukarkan pergerakan saya," ujarnya.

Dia melahirkan ucapan terima kasih kepada pihak bomba atas usaha menyelamatkan diri dan keluarganya.

 


Tag: