• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Mangsa Ribut Warga Emas Dapat Perhatian ADUN Pengkalan Berangan


Oleh: Khairan Mat Jusoh

MARANG, 4 Ogos - Sepasang warga emas berpenyakit kronik dari Kampung Cherang Sekertok, Wakaf Tapai di sini tidak terabai apabila rumah mereka yang dipukul ribut segera dibaiki baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengalan Berangan, Sulaiman Sulong melawat Mat Nor Mamat, 63, dan Semah Omar, 60, sejurus diketahui rumah mereka ditimpa kepala angin.

Sebanyak 50 keping atap asbestos yang rosak segera diganti dengan kos RM3,000 dari peruntukan ADUN Pengkalan Berangan itu.

Ustaz Sulaiman berkata, beliau secepat mungkin cuba menyelesaikan masalah warga emas itu supaya mereka mendapat perhatian sewajarnya.

"Kita di pihak DUN akan cuba secepat yang mungkin untuk menyelesaikan masalah kecemasan seperti ini.


"Adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan untuk memberikan perhatian dalam kes seperti ini lebih-lebih lagi mereka berdua yang dalam keuzuran menghidap penyakit kronik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Mat Nor yang menghidap penyakit strok dan Semah pula menghidap penyakit jantung terumbat meluahkan rasa terharu dengan tindakan ADUN berkenaan kerana segera turun padang menziarahi dan memantau keadaan rumah mereka.

Sementara itu, empat anggota Jabatan Amal Malaysia DUN Pengkalan Berangan turut menghulurkan bantuan tenaga agar mempercepatkan proses pemasangan bumbung tersebut.


Tag: