• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Mantan Naib Canselor, Bekas Orang Kuat BN Sertai PAS

KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Parti Islam Semalaysia (PAS) mengumumkan kemasukan tiga tokoh masyarakat ke dalam parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata penyertaan itu dilakukan atas dasar keyakinan terhadap perjuangan parti yang berada di bawah Perikatan Nasional.

Katanya, kemasukan tokoh masyarakat itu dilihat sebagai satu kesedaran daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Antara tokoh masyarakat itu adalah beliau yang merupakan Mantan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim.

“Tokoh seterusnya merupakan Mantan Pengurus Besar Ketengah, Datuk Hamzah Ngah diikuti Mantan Timbalan Ketua Pengarah ICT Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Aziz Yusof,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Jelajah Mega Perikatan Nasional (PNBEST) dan Himpunan Teguh Pertahan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa lagi pemimpin Perikatan Nasional lain.

Tambah Hishamuddin, ketiga-tiga tokoh diraikan keanggotaannya dengan penyarungan vest Perikatan Nasional oleh Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang yang hebat dan professional,” ujarnya.

 


Tag: