lightning-solid
Berita :
Marang Gembira Dato' SUK Mari 'Rotan'
Marang Gembira Dato' SUK Mari 'Rotan'
Mohd Irsyadi Abu Bakar
14 jam yang lepas
117

MARANG, 3 Mac - Lawatan kerja Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham ke daerah Marang pada Ahad merupakan satu usaha positif yang digerakkan dalam memperkasakan penjawat awam di Terengganu.

Pegawai daerah Marang, Zulkifly Isa berkata, kunjungan ke daerah itu adalah lawatan kerja yang kelima SUK ke daerah-daerah di negeri Terengganu.

Tambahnya, kehadiran Dato' SUK ke daerah-daerah sebenarnya memberikan motivasi dan membawa semangat baru kepada penjawat awam untuk berkhidmat lebih baik. 

"Pada saya, Dato' SUK mengulangi apa yang berlaku semasa dia menjadi Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri dahulu, untuk pergi menyantuni pegawai-pegawai di daerah.

"Ia amat positif, kita mengalu-alukan santunan yang dibuat oleh Dato', memang kita ada ada pelbagai platform tetapi ini yang terbaik untuk kita kemukakan permasalahan di daerah ini.

"Lumrahnya semua kakitangan di daerah tahu tentang tugas mereka, tetapi 'a long the way' mereka kadang-kadang terlupa, cepat berpuas hati (dengan kerja mereka).

"Jadi Dato' mari 'rotan' sekali-sekala, itu satu perkara yang baguslah dengan memberi kesedaran kepada semua," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Menyantuni Anak Yatim dan Saudara Kita yang diadakan sempena lawatan kerja tersebut di Masjid Sultanah Nur Zahirah, di sini.

Turut hadir dalam kunjungan itu ialah Pegawai Kewangan negeri, Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Ahmad Razak, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu, Datuk Ab Rasid Jusoh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato' Jusman Ibrahim.

Dalam pada itu, Zulkifly sempat menyatakan usaha yang perlu disegerakan untuk daerah Marang.

"Untuk daerah Marang, saya ada mengutarakan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan infrastruktur di rancangan tanah berkelompok (RTB) yang ada.

"Kita ada banyak RTB yang telah diagihkan tetapi kebanyakannya tidak dapat dimasuki dan dipenuhi kerana tidak ada jalan serta infrastruktur yang asas. 

"Kita cuba memohon untuk dapatkan sedikit perkara itu, sekurang-kurangnya orang yang dapat itu boleh masuk untuk buat rumah," katanya.


Tag :

Artikel Berkaitan