• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Maritim Malaysia Tahan Tujuh Bot Haram Vietnam


KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan tujuh bot nelayan Vietnam sejak Khamis menerusi Op Kuda Laut yang dilaksanakan bermula akhir Jun lalu.

Pengarah APMM Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, Op yang bertujuan mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara itu berjaya merampas hasil laut berupa ikan berkualiti, ikan baja dan ikan campur seberat lima tan.

"Turut dirampas peralatan menangkap ikan bernilai RM10.5 juta termasuk rampasan diesel 10,000 liter.

"Semua bot terbabit ditahan di tujuh lokasi berasingan oleh tiga Kapal Maritim (KM) iaitu Tegas, Mulia 2 dan Gemia yang menjalankan operasi selama tiga hari bermula Khamis hingga Sabtu di lokasi antara 115 batu nautika hingga 134.5 batu nautika dari muara Kuala Terengganu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Suffi Mohd Ramli.

Menurut beliau lagi, tangkapan antara 8.45 malam hingga 3 pagi itu turut berjaya menangkap 86 awak-awak termasuk tekong berusia antara 16 hingga 68 tahun.

"Mereka ditahan kerana tiada lesen dan pengenalan diri serta tiada kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia.

"Semua tahanan dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk proses saringan COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kes kemudian diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia," katanya.

Antara awak-awak yang berjaya diberkas.

Tambah Muhammad Suffi, sejak Op Kuda Laut dilancarkan pada 24 Jun lalu, pihaknya menahan 25 bot nelayan Vietnam di perairan Terangganu yang turut membabitkan penahanan 281 awak-awak dan tekong warga Vietnam.

"Kami akan terus melaksanakan rondaan di perbatasan sempadan negara bagi menghapuskan pencerobohan nelayan asing khasnya dari Vietnam yang tidak serik memasuki perairan negara dan mengaut hasil laut secara haram," tegasnya.


 


Tag: