• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Maritim Terengganu Tahan Empat Bot, Rampas RM6 Juta

KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah menahan empat bot asing di perairan negara kelmarin.

Menurut Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim, Muhammad Suffi Mohd Ramli, kesemua bot tersebut ditahan oleh Kapal (KM) NUSA yang sedang melaksanakan OP KUDA LAUT pada kedudukan antara 77 hingga 78 batu nautika dari Kuala Terengganu.

"Ini merupakan tangkapan kelapan dan terkini bagi KM NUSA. Pada saya, tangkapan ini boleh dikatakan agak luar biasa kerana dengan saiz KM NUSA yang kecil dengan kapasiti 12 anggota, kita berjaya menahan empat bot dengan 46 awak-awak serta tekong bot Vietnam.

"Hasil daripada tangkapan ini kita telah merampas tujuh tan ikan campur dan tujuh tan ikan baja, 1,000 liter diesel yang dianggarkan bagi setiap bot dengan anggaran keseluruhan termasuk peralatan, minyak dan hasil bernilai RM6 juta," katanya dalam sidang media di ibu pejabat Maritim Terengganu, hari ini.

Jelasnya, kesemua awak-awak dan tekong bot berusia antara 15 hingga 62 tahun sedang menjalani 'swab test' sebelum siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Muhammad Suffi turut memaklumkan, pihaknya percaya bot-bot terbabit telah berada dalam perairan negara lebih sebulan. Ketika ini ditambah pula sepanjang musim sotong ini, kita percaya kemasukan mereka tidak akan berhenti dan kita akan terus menghantar aset walaupun dengan keupayaan terhad," katanya.

Beliau berharap, nelayan-nelayan tempatan akan turut memberikan kerjasama dalam usaha Maritim Malaysia untuk menjaga perairan negara daripada nelayan asing yang mengaut hasil laut tanpa kebenaran dan merugikan negara.

 


Tag: