• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Masjid RTB Bujal Terengganu Bakal Dibina Semula

Masjid Bujal hampir menyembah bumi sepenuhnya setelah dirobohkan.
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Kerajaan negeri sedang merancang untuk membina semula Masjid Bujal di Kijal, Kemaman selepas ia dirobohkan 14 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) akan menyelesaikan masalah keperluan untuk membina masjid berkenaan.

Katanya, sebelum ini tapak sedia ada dibiarkan begitu sahaja sekali gus tanah di situ masih tidak ditebus guna sehingga hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas selesai diwawancara dalam segmen 'Kabbo Royak' Siri Kelima TV Darul Iman di Pejabat Urusetia Penerangan Daul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Kira-kira 14 tahun yang lalu, Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Kampung Bujal, Kijal itu telah dirobohkan dengan dibantu jentera jabatan kerajaan dan anggota polis.

Masjid di RTB yang dinamakan dengan Desa Makmur hasil derma orang ramai akhirnya menyembah bumi dan kawasan masjid tersebut terbiar tanpa dimajukan.

Masjid RTB Bujal dibina di atas Lot PT 3294 yang dikhususkan sebagai tapak surau dalam Pelan Susun Atur Perumahan Kampung Bujal sebagaimana diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) pada 3 Ogos 2003. Satu lot lagi untuk pembinaan surau adalah di PT 3297.

Pelan susun atur tersebut menyediakan 363 unit kediaman untuk diisi peserta dan ianya jauh dapat memuatkan lebih daripada 40 orang yang menjadi syarat untuk mendirikan solat Jumaat.
Masjid Bujal ketika dalam pembinaan.
Para peserta membina masjid tersebut dengan niat untuk dijadikan masjid bagi tujuan beriktikaf dengan adanya mihrab di bahagian hadapan dan kolah tempat mengambil wuduk manakala susun atur jubin lantainya berbentuk saf sembahyang.

Selepas peristiwa perobohan masjid tersebut, rombongan demi rombongan dari seluruh negara datang melawat kesan perobohan masjid sehingga akhirnya kesan runtuhan itu telah dihapuskan sama sekali.




Tag: