• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

SETIU, 9 Oktober - Mayat tiga kanak-kanak yang lemas di Sungai Kuala Baru, Kampung Mangkok ditemui awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Setiu merangkap Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) DSP Afandi Hussin berkata, mayat pertama Nur Amni Insyirah Saiful Tarmizi, 9, ditemui pada pukul 1.08 pagi manakala adiknya Muhammad Aryyan Faheem, 7, ditemui pada 1.47 pagi.

"Mangsa ketiga dan terakhir Nurul Hasya Humaira Che Mohd Humaizi, 11, ditemui pada 8.15 pagi ini.

"Kesemua mangsa yang ditemui berada tidak jauh dari lokasi kejadian," katanya hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir bersama ADUN Jabi, Azman Ibrahim, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan Langkap, Zulbhari A Rahman serta Azmi Maarof menemui keluarga mangsa dan mengucapkan takziah atas kejadian yang berlaku.

Pegawai Daerah Setiu yang juga Pengerusi Bencana Daerah Setiu, Rosli Latif dalam pada itu mengumumkan penutupan operasi pada 8.40 pagi dan mengucapkan tahniah kepada semua petugas SAR.

Sementara itu, Che Jemani Abdullah datuk kepada mangsa ketiga Nurul Hasya Humaira ditemui tidak dapat menahan sebak mengenangkan kejadian yang berlaku kepada cucu sulungnya itu.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada semua anggota penyelamat yang terlibat operasi mencari cucunya.