lightning-solid
Berita :
MB Kemuka Cadangan TOD Kepada PM Sabtu Ini
MB Kemuka Cadangan TOD Kepada PM Sabtu Ini
Adli Mohamad
09 Jul 25
421

BESUT, 9 Julai – Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar akan mengemukakan cadangan berkaitan pembangunan berorientasikan transit (Transit-Oriented Development, TOD) kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan kerja beliau ke Terengganu pada hujung minggu ini.

Menurut Ahmad Samsuri, cadangan tersebut penting bagi memastikan kawasan sekitar pelaksanaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), khususnya di Stesen Jerteh, dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk setempat.

“Usaha menggerakkan pembangunan TOD ini bukan mudah kerana sebelum ini ia tidak dimasukkan dalam mana-mana Rancangan Malaysia atau pembentangan bajet di peringkat Persekutuan.

“Jadi, saya bercadang untuk membangkitkan isu ini kepada Perdana Menteri selaku Menteri Kewangan yang akan berada di Terengganu pada hari Sabtu ini, dari pagi hingga ke petang.

“Saya ingin mendapatkan pandangan beliau tentang pembangunan TOD kerana saya percaya ia bukan hanya membabitkan Terengganu, tetapi juga relevan di Kelantan dan Pahang. Jika tiada pembangunan sokongan di sekeliling stesen, maka ‘bottom line’ projek ini tidak memberi impak sebenar kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak cadangan TOD ECRL di Jerteh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak.

Mengulas mengenai status semasa projek, Ahmad Samsuri memaklumkan bahawa kemajuan pembinaan ECRL bagi Stesen Jerteh kini telah mencapai 51.8 peratus dan dijangka siap mengikut jadual yang ditetapkan.

“Semua kemungkinan telah diambil kira, termasuk risiko banjir ketika musim tengkujuh nanti. Kerajaan negeri akan terus memudah cara segala keperluan yang diperlukan oleh pihak MRL dan kontraktor pelaksana, China Communications Construction Company (CCCC), demi memastikan projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancang,” ujarnya.

Sementara itu, Darwis berkata kemajuan keseluruhan projek ECRL kini telah mencecah 84.59 peratus setakat Jun lalu.

“Bagi Terengganu sahaja, kemajuan kerja di negeri ini telah mencapai 91.78 peratus,” katanya.


Artikel Berkaitan