• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

MB Pengerusikan Mesyuarat Pertama MSDNg

KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Statistik dan Data Negeri (MSDNg) Terengganu semalam.

Menurut kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu (DOSM), Penubuhan MSDNg Terengganu merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara Bil. 1/2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Januari 2022 lalu.

"Penubuhan MSDNg ini merupakan satu agenda utama dalam Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang bertujuan memperkukuh sistem statistik sedia ada dengan penyelarasan yang lebih berkesan dalam membekalkan data bagi merangka dasar dan pembangunan negara," jelas kenyataan itu.

Penubuhan MSDNg dan Majlis Statistik Data Daerah (MSDD) di setiap negeri adalah penting bagi memperkasakan tadbir urus sistem statistik Negeri dan Daerah sehingga peringkat terkecil.

MSDNg jelas kenyataan itu bertindak sebagai majlis tertinggi di peringkat negeri dalam merancang dan menentukan hala tuju bagi memperkukuhkan  penyelarasan statistik negeri dan daerah.

Di samping itu  ia bertujuan merangka dasar, strategi dan pelan tindakan yang jelas agar pengurusan sistem statistik rasmi negeri kekal dinamik dan relevan.

Sementara itu MSDD berperanan dalam merangka strategi, tadbir urus penyelarasan dan pengurusan sektor awam dan swasta di peringkat daerah serta menyelaras keperluan teknikal serta standard kualiti data dan statistik di peringkat daerah.

Menurut kenyataan itu lagi MSDNg Terengganu dianggotai seramai 49 orang yang terdiri daripada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.

MSDD pula terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua, pegawai di peringkat Persekutuan dan Negeri yang berkaitan bidang keutamaan statistik.

"Penubuhan MSDNg Terengganu ini mampu memberikan impak positif antaranya capaian dan penyelarasan data yang lebih sistematik dari pelbagai sumber serta meningkatkan 'data-culture' dalam proses membuat keputusan berasaskan bukti," ujar kenyataan itu lagi.

Pada hari ini juga, turut diadakan Pelaancaran Unit Geographic Information System  Negeri Terengganu (UGIST) yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN).

Ia sekali gus merupakan agensi induk sebagai pemantau dan sumber maklumat rasmi ekonomi negeri meliputi maklumat hasil guna tanah bagi keseluruhan sektor di negeri Terengganu.

Dalam pada itu DOSM melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.

Sementara itu Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun yang bertema 'Statistik Nadi Kehidupan'.
 


Tag: