• 07 Dis 2021 | 2 Jamadil Awal 1443

KUALA TERENGGANU, 24 Jun – Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Terengganu pada Mei 2018, barisan pentadbiran sentiasa berpegang kepada prinsip tidak memilih bulu dalam menyampaikan bantuan kepada masyarakat yang layak.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sentiasa menegaskan perkara itu kepada seluruh kepimpinan sehingga ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Jangan ada pemikiran pilih kasih, latar belakang politik, warna, agama dan kaum, semuanya adalah  rakyat negeri yang tidak perlu disisihkan disebabkan perbezaan tersebut, penghormatan dan sumbangan mesti diutamakan.

“Kerja pengagihan sumbangan oleh setiap lapisan pentadbiran berjalan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 pada Mac tahun lepas, cuma mungkin ada sedikit terlepas pandang.

“Jika rakyat diluar sana tidak mendapat bantuan yang sewajarnya, mereka boleh datang berbincang di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri, Pusat Khidmat Masyarakat atau terus berjumpa JPKK di kawasan masing-masing bagi memastikan nama-nama yang layak tersenarai,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI baru-baru ini.

Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai itu, penyaluran bantuan secara bersasar yang berjumlah RM200,000 kepada setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan jumlah keseluruhan RM6,400,000 sedang diagihkan secara dua fasa.

“Kita bersetuju untuk agihkan RM100 (RM50 dalam bentuk wang, RM50 dalam bentuk barangan keperluan) melalui ADUN dan Pegawai Penyelaras dalam negeri.

“Kata kunci bagi inisiatif ini adalah meringankan beban orang bekerja yang hilang punca pendapatan serta tidak tersenarai dalam Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” jelasnya.