• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MB Seru Rakyat Bermunajat Agar Tanah Air Palestin Dikembalikan

KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh rakyat untuk mengadakan munajat khusus bagi mendoakan kejayaan pasukan Hamas yang pada ketika ini berusaha keras bagi mengembalikan semula tanah air Palestin kepada rakyatnya.

"Saudaraku di bumi Malaysia, Pasukan Hamas dan Jihad Islami telah melancarkan serangan menentang kezaliman Israel dalam Operasi Taufan Al-Aqsa.

"Marilah sama-sama kita berdoa bersungguh-sungguh, bermunajat dan menunaikan solat hajat buat saudara-saudara Islam kita di bumi Gaza yang kini sedang berjuang mengambil kembali tanah air mereka, Palestin daripada rejim Israel," ujarnya melalui facebook rasminya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, rakyat Malaysia harus membuktikan solidariti walaupun berada jauh daripada negara jantung hati umat Islam itu yang sekian lama mengharapkan Palestin akan dibebaskan daripada Rejim Zionis,

"Dengan sama-sama kita menunaikan solat hajat, membaca doa qunut nazilah dan bermunajat untuk saudara kita di bumi Gaza," katanya.

Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai 'Taufan Al-Aqsa' yang dilancarkan dari darat, udara dan laut.

Sehingga kini lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah Zionis Israel seperti Utara Gaza, Esklain, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem.