• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

MB Seru Rakyat Bersatu Hati

Dr Ahmad Samsuri (tiga, kanan) bersalaman dengan Tengku Muhammad Ismail (dua, kiri) di Dataran Batu Burok Kuala Terengganu Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke 61 Peringkat Negeri Terengganu.-Foto Harish Fadzillah
 

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh  rakyat Malaysia khususnya negeri Terengganu bersatu hati membangun negara dan negeri seiring kemajuan global, memangkin pertumbuhan ekonomi dan melahirkan modal insan berintegriti. 
 
Beliau menaruh harapan tinggi kepada rakyat Terengganu agar dapat menghayati kebebasan secara menyeluruh dengan mencorak identiti sendiri, mencipta kemajuan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
 
"Besar harapan saya agar rakyat Negeri Terengganu dapat menghayati kebebasan secara menyeluruh, mencorak identiti sendiri, mencipta kemajuan di dunia dan kesejahteraan di akhirat," katanya ketika berucap di Hari Kebangsaan Ke-61 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah di sini 31 Ogos.
 
Turut hadir di majlis berkenaan,  Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu,  Haji Yahaya Ali dan Isteri,  Hajjah Zaroni Othman, Pengerusi Jawatankuasa Agung Sambutan Hari Kebangsaan Ke 61, Encik Ariffin Deraman dan Isteri, Puan Arinah Lah, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan Isteri To' Puan Hajjah Kamsiah Dollah dan pegawai-pegawi tinggi kerajaan, para kenamaan dan isteri-isteri masing.
 
Menteri Besar berkata, dengan sambutan Hari Kebangsaan kali ini dengan tema “Sayangi Malaysiaku”  beliau menyeru semua rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan etnik agar negara membangun seiring kemajuan global, memangkin pertumbuhan ekonomi dan melahirkan modal insan berintegriti. 
 
Katanya, negara sudah mengecapi kemerdekaan sejak tahun 1957 selama 61 tahun.
 
Pelbagai onak dan duri telah dilalui oleh negara sepanjang tempoh tersebut yang cukup untuk mematangkan pemikiran kita sebagai seorang warganegara yang berdaya saing untuk membangunkan negara dan negeri Terengganu khususnya.
 
Menurutnya, kemerdekaan yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan dan keberanian para pejuang terdahulu dalam mempertahankan maruah tanah air tercinta daripada penjajah.
 
"Haji Abdul Rahman Limbong dan Tokku Paloh antara tokoh ulama dari Terengganu yang terpahat dalam lipatan sejarah masih kekal segar di ingatan generasi masa kini kerana sanggup berkorban jiwa dan raga demi kebebasan negara.
 
"Mempertahankan sebuah kemerdekaan menuntut komitmen yang padu dan jitu daripada semua lapisan masyarakat. Kerjasama utuh antara pemimpin dan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama sangat penting dalam memastikan keamanan dan keharmonian pelbagai kaum sentiasa dijaga," tegasnya.
 
Namun begitu, katanya hakikat kemerdekaan adalah lebih luas. Merdeka bukan sahaja bebas penindasan fizikal tetapi bebas cengkaman mental daripada ideologi peninggalan penjajah.
 
"Mentaliti merdeka sepatutnya adalah berasaskan acuan sendiri, bebas daripada anasir luar yang boleh merosakkan.
 
"Negara kita kaya dengan adab dan tatasusila. Tambahan pula, Islam merupakan agama rasmi. Unsur-unsur songsang seperti LGBT, pergaulan bebas, hiburan melampau di alaf dunia tanpa sempadan boleh merencatkan pembangunan insan dan negara," ujarnya. 
 

Tag: