• 25 Mei 2024 | 17 Zulkaedah 1445

MB Tak Termakan ‘Game Plan’ Ahmad Said

KUALA TERENGGANU, 6 Jun - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau tidak termakan dengan permainan atau ‘game plan’ politik Pengerusi Umno Terengganu yang kini giat menimbulkan pelbagai isu.

Ahmad Samsuri berkata, tiada keperluan untuk melayan tindak tanduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Dato’ Seri Ahmad Said berbanding mengutamakan isu rakyat.

Katanya, sebaliknya beliau lebih terbuka untuk memberi kenyataan kepada pihak berautoriti berhubung sebarang isu termasuk tanah Khairunissa’.

“Tak ada kerja saya nak berdebat dengan dia, buat apa saya nak ikut ‘game plan’ dia, satu masa dulu pada 2012 atau 2014 dia pernah dicabar berdebat oleh pembangkang ketika itu, tetapi dia cakap tak bersedia berdebat, sekarang dia pula ajak berdebat.

“Tentang isu tanah itu saya sudah memberi jawapan kepada wartawan beberapa hari lepas di Kuala Lumpur, boleh ambil balik jawapan itu dan saya (sangat bersedia memberi keterangan) kepada mana-mana pihak berautoriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cabaran debat bekas calon BN Kemaman yang kalah dengan majoriti 27,179 undi itu selepas Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 di Wisma Darul Iman hari ini.

Dalam pada itu, menjawab tentang penularan dokumen tanah di Terengganu di atas nama Umno Cawangan dan Bahagian, Ahmad Samsuri mengakui memang ada parti politik yang berbuat demikian.

“Namun saya tidak mahu memanjangkan isu itu, jika dikorek cerita ini ia akan jadi panjang, memang ada parti politik yang ambil dan daftar tanah atas nama parti mereka,” katanya.


Tag: